ASSALAMUALAIKUM W.B.T
Anjuran agar saling mendekatkan hati, saling bersaudara dan mencintai diantara sesama kaum muslimin merupakan salah satu sisi keindahan Islam. Islam mensyariatkan perantaraan yang dapat menyebabkan keakraban, mendamaikan dan menghilangkan kabut hati. Diantara perantaraan itu adalah saling memberikan hadiah diantara sesama muslim.
Hadiah dapat melakukan apa yang tidak dapat dilakukan ucapan dan permintaan maaf. Ia mampu menghilangkan kabut hati, memadamkan api permusuhan, menenangkan kemarahan dan melenyapkan rasa iri hati dan kedengkian. Ia dapat mendatangkan kecintaan dan persahabatan setelah sekian lama tercerai-berai.
Hadiah selalu memberikan kesan perdamaian, rasa cinta dan penghargaan dari si pemberi kepada yang diberi. Kerana itulah Nabi Muhammad S.A.W menganjurkan agar memberi dan menerima hadiah. Beliau menjelaskan pengaruh hadiah di dalam meraih kecintaan dan kasih sayang diantara sesama manusia;
" Saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian akan saling mencintai." HR. Al-Bukhari
Beliau juga bersabda; " Penuhilah undangan orang yang mengundang, janganlah menolak hadiah..." HR. Ahmad dan Al-Bukhari
Mengenai hadith ini, Ibn Hibbân menjelaskan;" Dalam hadith ini, Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wasallam mengecam tindakan menolak hadiah dikalangan sesama muslim. Bila seseorang diberi sebuah hadiah, wajib baginya untuk menerimanya dan tidak menolaknya. Saya menganjurkan orang-orang untuk saling mengirim hadiah kepada sesama saudara. Sebab hadiah dapat melahirkan kecintaan dan menghilangkan rasa dendam."
Antara Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wasallam Dan Hadiah
Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wasallam menerima hadiah dan tidak menerima sedekah. Dalam hadith Abu Hurairah radhiallahu `anhu, ia berkata;" Bila Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wasallam dihidangkan makanan, Dia selalu bertanya; Apakah ia hadiah atau sedekah? Jika dijawab, 'Sedekah' maka Dia berkata kepada para shahabatnya, 'Makanlah oleh kalian' sementara dia tidak ikut memakannya. Sedangkan bila dijawab, 'hadiah' maka beliau mencuci tangannya lalu memakannya bersama mereka.'" Muttafaqun 'alaih
Hadith lainnya berasal dari 'Aisyah Radhiallahu` anha, ia berkata;" Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam menerima hadiah dan mendoakan pahala bagi (pemberi) nya." HR. Al-Bukhari
Salah satu jenis hadiah yang tidak pernah ditolak Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wasallam adalah wangi-wangian. Perkara ini sebagaimana hadith Anas Radhiallahu `anhu, bahawasanya Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wasallam tidak pernah menolak wangi-wangian. " HR. al-Bukhari
Beliau (Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wasallam ) juga bersabda;" Siapa sahaja yang dihadiahi 'Raihan', maka janganlah menolaknya sebab ia ringan dibawa namun sedap baunya." HR. Muslim Apa Yang Dilakukan Orang-Orang Ansar?
Orang-orang Ansar amat mengetahui betapa hajat Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wasallam dan kesukaran hidup yang dialaminya. Kerana itu, mereka selalu mengirimkan hadiah dan pemberian untuk beliau. Perkara ini diceritakan oleh 'Aisyah Radhiallahu `Anha kepada 'Urwah Radhiallahu `anhu bahawa seringkali di rumah Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wasallam tidak dinyalakan api kerana tidak memasak. Lalu ketika 'Urwah bertanya apa yang dimakan bila keadaannya demikian. 'Aisyah Radhiallahu `anha menjawab, "Hanya kurma dan air."
Kemudian 'Aisyah Radhiallahu `Anha menceritakan bahawa sekalipun demikian, Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wasallam mempunyai jiran tetangga orang-orang Ansar yang selalu mengirimkan hadiah, iaitu berupa air susu unta." Muttafaqun 'alaih Memberi Hadiah Jangan Diukur Nilainya???? Anjuran Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wasallam agar saling memberi hadiah walaupun sedikit tidak ditinjau dari sisi nilainya tetapi lebih kepada nilai maknawinya sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Perkara ini dapat dilihat dari sabda Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wasallam melalui hadith Abu Hurairah Radhiallahu `Anhu bahawa beliau bersabda; " Wahai para wanita kaum muslimin, janganlah ada seorang jiran tetangga meremehkan pemberian jiran tetangganya yang lain sekali ia ( pemberian tersebut ) berupa hujung kuku ( teracak ) unta."HR.al-Bukhari
Padahal, apalah ertinya kuku yang tentunya hanya menyisakan sedikit daging. Dalam hadith yang lain, Nabi Muhammad Shallallahu `Alaihi Wasallam memberikan permisalan menarik yang menunjukkan perlunya sikap tawadlu' ( rendah hati ) dalam menerima hadiah apa pun;
" Andaikata aku diundang untuk menyantap makanan ( yang berupa ) bahagian hasta atau bahagian di bawah tumit, nescaya aku penuhi undangan itu, dan andaikata aku dihadiahkan perkara yang sama juga nescaya aku menerimanya. " HR. Al-Bukhari
Bila kita renungkan lebih mendalam, apakah Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wasallam masih memerlukan makanan dari orang lain? Jawapannya sudah pasti, tidak. Sebab sebagaimana yang kita ketahui bahawa beliau diberi makan dan minum oleh Rabbnya akan tetapi perkara ini merupakan pelajaran praktikal agar bersikap tawadlu' dan rendah hati terhadap kaum muslimin apa pun kedudukan mereka.
Kehidupan para ulama Salaf juga sarat dengan perkara sebegini dimana mereka saling memberi hadiah, sekecil apa pun bentuknya, terkadang ada yang hanya berupa kurma yang belum masak, ada yang berupa setangkai bunga mawar, ada yang hanya berupa garam yang ditumbuk dan tetumbuhan yang wangi aromanya.
Saling Memberi Hadiah Diantara Suami-Isteri
Hadiah adalah sesuatu yang mengkagumkan, apalagi bila terjadi diantara suami-isteri. Ia dapat menambah rasa kecintaan dan kedekatan hati antara keduanya, memperbarui ruh kehidupan rumahtangga dan menghilangkan perselisihan yang sebelumnya dapat saja akan bertambah meruncing bila kedua pasangan tidak menyedari apa yang dapat menghilangkannya.
Seseorang isteri lebih mudah tersentuh oleh hadiah yang diberikan suaminya daripada terhadap hadiah orang lain, demikian pula dengan si suami. Bahkan bila diinginkan, isteri boleh memberikan sebahagian maharnya kepada si suami asalkan secara sukarela. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman;
" Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian ( yang halal ) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. " Q.S An-Nisaa` : 4
Beberapa Perkara Penting Yang Perlu Diperhatikan
1. Tidak boleh mengambil kembali hadiah yang telah diberikan kepada orang lain sebab perkara ini sebagaimana makna sebuah hadith sama seperti anjing yang menelan lagi makanan yang telah dimuntahkannya. Muttafaqun 'alaih
Akan tetapi, boleh mengambil kembali hadiah yang telah diberikan kerana alasan yang bersesuaian dengan syariat seperti curiga bahawa ianya berasal dari hasil rasuah. Contohnya, Ash-Sha'b bin Jatstsamah Radhiallahu `Anhu pernah memberi hadiah seekor keldai liar kepada Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wasallam; namun beliau menolaknya kerana dia sedang berpakaian ihram. Demikian pula, bila seseorang pegawai yang sudah memiliki gaji diberi hadiah, maka dia tidak boleh menerimanya dan ini seperti yang berlaku kepada Ibn al-Lutbiyyah dimana Rasulullah mengecamnya. Muttafaqun 'alaih
2. Hendaknya yang lebih diutamakan didalam memberi hadiah adalah keluarga terdekat; kaum kerabat seperti orang tua pihak ibu dan ayah dan orang seperti mereka. Demikian juga boleh mendahulukan orang yang di hati seseorang mendapat tempat yang dekat. Imam al-Bukhari mencantumkan bab tentang siapa yang lebih dahulu harus diberi hadiah, lalu beliau mengetengahkan dua hadith; yang pertama, beliau menyarankan kepada si penanya agar diberikan kepada pakcik dari garis ibunya dan yang kedua ketika ditanyakan kepada beliau mana diantara dua tetangga yang didahulukan dalam memberi hadiah, beliau menjawab, "Yang paling dekat pintunya darimu."
1 comment:
Assalamu'alaikum...Massa Allahukana Wama Lam Yassa...Bagus sekali bloggernya...sekali-kali singgah dong ke my Blogger...!!!
Post a Comment